Kita tidak boleh mengubah
sesuatu yang telah berlaku tetapi kita boleh mengubah tanggapan dan cara
fikir kita terhadap sesuatu itu. Perubahan tanggapan perlu dibuat bagi
meletakkan diri kita pada situasi yang menguntungkan diri kita sendiri.
Kejayaan adalah satu pilihan hidup. Ia bukan sekadar takdir
dan jauh sekali berdasarkan nasib semata-mata. Kebolehan seseorang
mengharungi cabaran hidup, menyelesaikan masalah, dan mengawal emosinya
banyak
bergantung kepada tanggapan yang wujud dalam pemikirannya. Sekiranya
tanggapan itu positif maka baiklah natijahnya. Kalau tanggapan itu negatif
maka buruklah pula hasilnya.
Bagaimana tanggapan ini terbentuk? Bolehkah ia diubah?
Persoalan ini sering memeningkan kepala mereka yang bukan ahlinya.
Tanggapan terbentuk hasil daripada acuan ibu bapa sendiri.
Pengalaman lampau, peristiwa penting, pergaulan, bahan-bahan bacaan, media
serta idola juga membentuk tanggapan dalam diri kita. Apa yang kita percaya
dan yakin sebagai benar akan membentuk pegangan hidup kita dan seterusnya
menjadi sumber rujukan kita apabila berlakunya sesuatu peristiwa. Kerap
kali kita berkata, "orang itu tak boleh dipercayai", semata-mata kerana kita
mengenali seseorang sebelumnya, yang mirip atau seiras dengan orang itu,
yang pernah membohongi kita. Tanggapan sebegini hanya merugikan kita dan
memerangkap diri sendiri.
Tanggapan kita terhadap kebolehan diri kita seringkali
tersasar. Kita menilai diri kita berdasarkan hanya tanggapan dan bukannya
kebolehan diri sebenar yang ada.
|
|
Tanggapan ini pula merujuk
kepada peristiwa lampau dalam sejarah hidup kita. Misalnya, kalau kita
diminta memberikan pidato umum, kita mungkin menolaknya dan memberikan
seribu alasan semata-mata kerana dulunya kita pernah ditertawakan kerana
pidato yang tidak menjadi. Sebaliknya, kalau kita tidak pernah langsung
berpidato, kita merujuk kepada pengalaman rakan yang ditertawakan dan
menggambarkannya sebagai diri kita sendiri.
Kenapa tidak pelajari pengalaman mereka yang berjaya?
Dapatkan idola dalam setiap bidang yang mahu diceburi. Misalnya, berani
macam Anwar Ibrahim, bijak dan berwawasan macam Dr. Mahathir Mohamad, baik
pekerti dan takwa macam Nik Aziz. Dengan gabungan beberapa individu di atas
pastinya kita bakal menjadi orang yang jauh lebih baik. Dan sebaik-baik
idola itu ialah junjungan besar kita iaitu Nabi Muhammad s.a.w.
Minda manusia ibarat sebidang tanah. Apa yang disemai
itulah yang dituai. Kalau kita sentiasa terdedah dengan unsur-unsur yang
baik, bergaul dengan mereka yang berjaya, hidup dalam persekitaran yang
membina. Pastinya tanggapan kita terhadap kebolehan diri kita mirip kepada
kecemerlangan. Jadi semailah padi agar yang dituai nanti padi. Jangan
semai lalang nanti yang tumbuh nanti juga lalang. |