|
MENU UTAMA
>
SEMASA >
SMKSMAB DI MAJLIS PELANCARAN TUISYEN AL-BUKHARY |
Yayasan Al-Bukhary Biaya Tuisyen 15,000 pelajar
(Dipetik dari
Akhbar Berita Harian) |
PENGALAMAN membesar tanpa pendidikan tinggi
kerana latar belakang keluarga yang serba kekurangan, mendorong Pengasas
Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, menubuhkan Program
Tuisyen Al-Bukhary yang memberikan kelas tuisyen secara percuma sejak Januari
tahun ini. Program tuisyen itu berasaskan keazamannya untuk melihat pelajar di
luar bandar berpeluang mencapai pendidikan tinggi.
Hasrat murninya terus tercapai apabila 15,000 pelajar yang bakal melangkah ke
Tingkatan Lima dari seluruh negara terpilih mengikuti kelas tuisyen secara
percuma bermula Disember ini, di samping menerima set buku kerja dan latihan
oleh Yayasan Al-Bukhary. Mereka adalah pelajar daripada 300 buah sekolah luar
bandar di seluruh negara yang mempunyai latar belakang keluarga berpendapatan
rendah.
Program tuisyen yang menelan belanja RM4.5 juta setahun itu dirasmikan oleh
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, disaksikan oleh
300 pelajar dari seluruh negara di Muzium Kesenian Islam baru-baru ini. Hadir
sama ialah Penasihat Pendidikan Yayasan Al-Bukhary, Datuk Seri Dr Abdul Shukor
Abdullah. Abdullah turut menyampaikan sumbangan baju raya kepada pelajar
berkenaan.
Program tuisyen itu bertujuan meneruskan kesinambungan kecemerlangan tamadun
Islam dalam bidang Sains dan Matematik sekitar kurun 11 dan 12. Justeru, ia
diharapkan dapat membantu pelajar menguasai mata pelajaran seperti Matematik
Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi dan Bahasa Inggeris.
Abdullah berkata, sebagai sebuah negara yang menuju era perindustrian yang
pesat, Malaysia memerlukan ahli sains dan teknologi yang berkemahiran tinggi.
Impian ini hanya boleh dicapai jika sistem persekolahan melahirkan graduan
dalam bidang sains dan matematik.
Tambahnya lagi, penguasaan dalam bidang ini membantu Bumiputera terus berdaya
saing dan maju seiring dengan bangsa lain. Ini terbukti apabila sejarah Islam
menunjukkan masyarakatnya pernah membangun kerana kebijaksanaan mereka dalam
bidang ini.
“Program tuisyen seperti tajaan Yayasan Al-Bukhary amat menggalakkan kerana ia
menyokong aspirasi negara dalam melahirkan pelajar yang menguasai bidang sains
dan teknologi agar negara mempunyai keseimbangan tenaga kerja yang mahir dalam
bidang sains dan teknologi. Fokus tuisyen terhadap mata pelajaran Matematik,
Fizik, Kimia dan Biologi amatlah dipuji,” katanya.
Sementara itu, Abdul Shukor berkata, program tuisyen itu mensasarkan pelajar
miskin luar bandar dan daripada keluarga berpendapatan rendah, terutama mereka
yang lemah Matematik, Sains Tulen dan Bahasa Inggeris.
“Peluang ini amat bermakna dan penting bagi mereka kerana pelajar luar bandar
tidak mempunyai peluang kemudahan tutorial yang sama seperti pelajar kawasan
bandar. Bagi pengasas kami, ia adalah cara beliau memastikan mereka mendapat
bantuan tutorial terbaik kerana beliau sendiri tidak berpeluang mendapat
pendidikan tinggi kerana berasal dari keluarga kurang mampu,” katanya.
Terangnya lagi, program tuisyen Yayasan Al-Bukhary 2003 akan dikendalikan
selama 36 minggu atau 9 bulan dan 72 jam bagi setiap mata pelajaran. Melalui
program tuisyen itu juga diharapkan pelajar mampu memperoleh
sekurang-kurangnya kepujian (kredit) C6 dalam peperiksaan SPM.
“Pelajar yang mempunyai gred sederhana atau kurang sederhana menyertai program
ini kerana mereka adalah pelajar yang akan mendapat manfaat sepenuhnya
daripada program tuisyen ini. Sekurang-kurangnya 25 orang pelajar diajar dalam
setiap kelas yang berlangsung selama dua jam dan dikendalikan lima kali
seminggu. Satu mata pelajaran dikendalikan setiap hari di sekolah pelajar yang
dijadikan pusat tuisyen,” katanya.
Pada 2002, seramai 11,270 pelajar di seluruh negara telah menyertai program
tuisyen berkenaan. Program yang diluluskan oleh Kementerian Pendidikan
membabitkan 1,025 orang guru khusus untuk mengajar pelajar di lebih daripada
300 pusat di seluruh negara.
Dua pelajar yang ditemui, Nor Shazlin Ali, 16, dan Noor Akmal Kamarolzaman,
16, berasa bertuah dan bangga apabila terpilih untuk mengikuti kelas tuisyen
berkenaan.
Nor Shazlin, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Seri Maharajalela di
Teluk Intan Perak. Sebagai pesara askar yang mengharapkan pendapatan sebagai
buruh binaan, bapanya terpaksa membesarkan lima anak yang masih bersekolah.
Sementara ibunya adalah suri rumah sepenuh masa.
“Saya berterima kasih kepada Yayasan Al-Bukhary dan dengan peluang yang
diberikan ini saya berazam untuk meningkatkan penguasaan dalam bidang
matematik dan sains. Program ini benar-benar membantu kami. Ini terbukti
apabila kakak saya juga telah mengikuti program ini pada tahun ini,” katanya.
Sementara
pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Mohamedd Al-Bukhary, Noor Akmal
Kamarolzaman (Gambar Sebelah), terharu apabila menerima surat
tawaran daripada sekolahnya untuk mengikuti tuisyen berkenaan. Kelas tuisyen
itu mendorong Noor Akmal, anak sulung daripada lima beradik ini untuk belajar
lebih tekun dan bersungguh-sungguh.
“Saya bersyukur kerana dapat mengikuti kelas tuisyen tajaan Yayasan Al-Bukhary
sekali gus mengurangkan beban ayah yang bekerja sebagai polis. Peluang ini
amat berguna untuk kami meningkatkan penguasaan dalam mata pelajaran yang agak
susah ini,” katanya, yang berazam untuk mendapat 10A dalam SPM tahun depan
|
|