Persistensi (persistency) adalah
suatu sikap tidak mudah mengalah terhadap sebarang
halangan, dugaan, cabaran dan masalah dalam merealisasikan
sesuatu matlamat. Kejayaan sememangnya bukan sesuatu yang
mudah untuk dicapai. Kalau ia sesuatu yang mudah
maka pastilah tiada manusia gagal. Sedangkan kajian
menunjukkan 95% daripada manusia, selepas usia 55 tahun
hanya hidup bergantung kepada duit pencen. Itu bagi
yang bekerja kerajaan. Jauh sekali mereka ketika itu
mencapai tahap yang boleh dikatakan "financially
independent". Begitu juga dengan pelajar,
kajian menunjukkan setiap tahun hanya 13% - 14% pelajar
yang mampu melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian
tinggi. Bagi yang kini berada di institusi pengajian
tinggi pula, 80% daripada mereka menamatkan pengajian
setakat ijazah kelas kedua atau ketiga.
Fenomena di atas jelas menunjukkan ramai manusia gagal
mencapai yang terbaik kerana cepat berpuashati dengan
pencapaian mereka. Ada sesetengahnya cuba melakukan
lebih jauh tetapi akhirnya merasa kecewa hanya setelah
beberapa kali sahaja mencuba. Saya teringat baris
kata-kata yang pernah saya terbaca dahulu, "When
the going gets tough, the tough get going",
dan satu lagi, "Quitters never
win and winners never quit". Kata-kata
ini telah sekian lama saya sematkan dalam hati saya dan
dijadikan azimat bagi meraih kekuatan setiap kali
berhadapan dengan cabaran atau ketika berada diambang
kegagalan. Dengan sikap persistensi yang tinggi
sesiapa sahaja boleh berjaya. Hanya faktor masa
sahaja menjadi penentu kejayaan itu.
Cuba kita lihat
bagaimana persistennya Nabi Muhammad s.a.w dalam
mengembangkan agama Allah dizaman jahiliyah dahulu hingga
terbentuknya sebuah negara Islam yang digeruni lawan dan
dihormati. Tidak seperti rasul-rasul sebelumnya,
Nabi Muhammad s.a.w mengembangkan Islam tanpa bergantung
kepada mukjizat yang mencarik adat selain daripada
Al-Quran. Baginda memulakan syiarnya ketika berusia
40 tahun setelah menerima wahyu pertama. Hanya
kerana mahu membawa masyarakatnya beriman kepada Allah,
baginda telah diejek, dicemuh, dilontar dengan batu.
Pengikut-pengikutnya diseksa. Keluarga mereka didera
dan dihina. Semuanya ini sedikitpun tidak
menjejaskan kemahuan baginda untuk melihat Islam tegak
dibumi Allah ini. 13 tahun dimekah dan 10 tahun di
Madinah adalah satu masa yang bukan pendek. Sikap
persistensi sebeginilah yang perlu ada sekiranya seseorang
itu mahukan kejayaan. Nabi Muhammad s.a.w dan para
sahabatnya membuktikan bahawa kebolehan seorang manusia
cukup luar biasa dan mampu menggoncang dunia selagi tidak
lari dari matlamat perjuangan, rela berkorban dan sanggup
melakukan apa sahaja untuk berjaya. Kenapa mesti
berjuang 23 tahun sedangkan Allah boleh sahaja memberikan
kemenangan mudah kepada rasulnya? Sebabnya untuk
manusia selepas itu menjadikan kehidupan dan perjuangan
itu suatu tauladan. Salah satu darinya ialah sikap
gigih dan tidak putus asa dari mengharap kemenangan dari
Allah.
Seorang jurujual berjaya cukup faham dengan teori
persistensi ini. Fikiran mereka telah diprogramkan
bahawa untuk melakukan satu jualan yang berjaya mereka
perlu menemui 10 orang pelanggan berpotensi. Dengan
fahaman matematik yang cukup mudah ini mereka berusaha
tanpa kenal erti jemu. Setelah satu kegagalan mereka
merasa lebih gembira kerana mereka cuma tinggal 9 orang
lagi sebelum mendapat kejayaan. Mereka terus
berusaha dan kejayaan jualan pertama itu mungkin terletak
pada cubaan yang ke-5, ke-7 atau ke-10. Meski pun
mereka gagal membuat jualan dalam 10 cubaaan
pertama, mereka tetap tidak putus asa. Sebab
kemungkinan pula dalam cubaan ke-11 atau ke-12 kejayaan
mula menjelma.
Sejarah memang membuktikan bahawa hampir semua
nama-nama besar dan terkenal adalah mereka yang mencipta
sejarah setelah mencuba ribuan kali. Edison mencipta
lampu setelah berusaha lebih 10,000 kali. Kolonel
Sanders cipta kejayaan dengan resepi ayam gorengnya
setelah mencuba 1009 kali. Nelson Mandela menjadi
presiden Afrika Selatan setelah dipenjarakan hampir sesuku
abad. Goodyear mencuba hampir 10 tahun sebelum
menemui kaedah untuk mengkomersilkan getah. Boon
Siew, walau pun tidak tahu membaca dan menulis mampu
menjadi jutawan dan memberikan peluang pekerjaan kepada
ribuan pekerja hanya kerana persistensinya.
Kalau telah jelas, dari kisah-kisah di atas, bahawa
persistensi adalah senjata utama
menuju kemenangan maka kenapa pula anda perlu cepat putus
asa? Dalam kehidupan ini kegagalan adalah pengalaman
bagi mereka yang persisten tetapi sebaliknya adalah
kematian bagi mereka yang putus asa. Kalau anda
seorang pelajar, kini soallah diri anda sendiri, adakah
anda telah mencuba ribuan kali untuk menyelesaikan satu
soalan matematik atau sains yang mencabar? Ratusan
kali? Puluhan kali? Jawapannya pastinya
tidakk... anda cuma mencuba beberapa kali dan
akhirnya putus asa. Kalau inilah cara anda bagaimana
mampu anda letakkan nama anda sebaris dengan mereka yang
telah berjaya?
Air yang menitik secara berterusan itu mampu menghakis
batu. Parang yang diasah secara berterusan itu akan
tajam. Begitulah juga dengan diri manusia.
Oleh itu jangan putus asa dalam usaha. Anda tidak
boleh gagal walau atas alasan apa sekalipun. Jadikan
setiap kegagalan itu satu pengajaran untuk memperbaiki
diri, untuk mengubah perancangan, untuk lebih fleksibel
dan lambat laun kejayaan itu milik anda kerana kuasa
persistensi yang ada dalam diri.
Sekian.