Sikap positif terserlah melalui penampilan diri yang
positif. Kita mudah mengenali mereka yang bersikap
positif melalui percakapannya, pakaiannya, rambutnya,
kasutnya, gayanya dan sebagainya. tetapi kita
lupa, sebenarnya kita mampu melakukan sebaliknya iaitu
membina sikap positif melalui penampilan yang
positif.
Ambil contoh yang paling mudah, anda
telah dijemput ke satu majlis pelancaran oleh seorang
rakan. Anda mengenakan baju biasa sahaja dengan
berbaju kemeja lengan pendek dan berseluar kasual.
Sampainya sahaja anda di sana, anda lihat hampir kesemua
mereka yang hadir lengkap berbaju batik atau berkot dan
bertali leher. Apa perasaan anda? Saya yakin
walau bagaimana positif pun sikap anda, anda pasti
rasa bersalah dan rendah diri. Berbeza pula bentuk
perasaan anda sekiranya anda hadir dengan pakaian yang
rapi, segak, kemas dan bergaya. Anda pasti rasa
penuh yakin dan positif. Begitulah besarnya
pengaruh penampilan diri dalam membentuk sikap positif
dan emosi anda. Cuba fikirkan sejenak bagaimana
perasaan anda apabila anda mengenakan baju baru ke
pejabat. Anda rasa lebih bersemangat dan yakin.
Kemas, bersih dan rapi tidak semestinya
berjenama. Tidak salah mempunyai pakaian dan
aksesori yang berjenama sekiranya anda mampu tetapi ia
bukannya suatu kemestian. Jangan pula seperti kata
pepatah 'biar papa asal bergaya'. Anda perlu ingat
bahawa pelaburan yang telah anda buat dalam membentuk
penampilan diri atau imej yang positif mestilah membawa
pulangan yang setimpal atau berbaloi. Kalau anda
melaburkan wang ringgit untuk membentuk imej diri
semata-mata untuk bergaya dan menunjuk-nunjuk, maka
pelaburan itu merugikan anda. Pelaburan yang
dibuat mestilah mampu menjadikan anda lebih positif dan
produktif. Sebab itu ramai jurujual profesional
mempunyai penampilan diri yang positif. Mereka
dilatih untuk berkeadaan sedemikian. Mereka meraih
keuntungan dan pendapatan dengan mempunyai penampilan
positif.
Beberapa perkara yang mesti diperhatikan dalam
membentuk penampilan diri:
- Potongan rambut
- Potongan yang sesuai dengan peranan, kemas dan
menarik.
- Pilihan warna dan corak
- Pilihan warna yang kena pada tempat dan masa
serta 'matching'.
- Jenis pakaian
- Sama ada batik, kasual, sukan, kot dan
sebagainya.
- Kemas dan rapi
- Sentiasa digosok rapi.
- Kasut - Kasut
yang sesuai denga tujuan kehadiran kita di satu-satu
tempat.
- Aksesori - Jam
tangan, beg, gelang dan rantai (bagi wanita),
haruman dan lain-lain.
- Jenama
- Bukan
perkara utama tetapi digalakkan bagi yang mampu.
- Kesihatan diri
- Keceriaan wajah, kelihatan sihat, kuku, kulit dan
sebagainya.
- Gaya - Cara
berjalan, bercakap, ketawa dan mimik muka.
- Senyum -
Rahsia utama penampilan diri ialah senyuman yang
terukir.
Tuntutan penampilan diri ini berbeza-beza mengikut
kedudukan anda dalam masyarakat dan karier yang anda
ceburi. Walau pun begitu anda tetap dinilai oleh
manusia lain melalui penampilan diri anda. Sebab
itu permohonan untuk ke satu-satu pekerjaan perlu
melalui proses temuduga. Mereka mahu melihat
calun-calun secara terus bukan sekadar untuk menguji
kebijaksanaan seseorang pemohon tetapi juga untuk
melihat penampilan diri yang melambangkan sikap dan
peribadi seseorang.
Penampilan diri positif perlu dipatuhi oleh semua
golongan masyarakat termasuk pelajar, ibu bapa, pekerja,
eksekutif, pemimpin dan sebagainya.
|