Kata "mujahadah"
berasal dari kata "al-jihad" iaitu
mengeluarkan segala kesungguhan, kekuatan dan
kesanggupan pada jalan yang diyakini oleh manusia bahawa
jalan itulah yang hak dan benar. Namun demikian,
kata al-jihad itu telah sering dipakai dalam erti perang
sabil, memerangi musuh-musuh, dan membela diri dari
serangan dan gangguan mereka.
Seorang
ahli bahasa yang terkenal, Ibnul Atsir menerangkan
bahawa al-jihad adalah memerangi orang kafir dengan
sungguh-sungguh menghabiskan daya dan tenaga dalam
menghadapi mereka, baik dengan perkataan atau
perbuatan. Sebagaimana mafhum firman Allah
"Berjihadlah
dijalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka"
(Surah At-Taubah: 20)
Kata jihad boleh juga diertikan dengan perjuangan
dalam mencari rezeki yang halal; berdasarkan sabda
Rasulullah s.a.w:
"Mencari
(rezeki) yang halal itu adalah jihad".
(Hadith riwayat Abu Nuaim dari Ibnu Umar)
Namun dalam dunia tasauf, kata jihad diertikan dengan
memerangi hawa nafsu. Sebagaimana sabda Rasulullah
s.a.w. bahawa memerangi hawa nafsu itu lebih berat dan
lebih besar daripada memerangi orang-orang kafir.
Bahkan Rasulullah s.a.w. setelah kembali dari satu
peperangan besar bersabda kepada sahabat-sahabatnya:
"Kita ini
kembali dari peperangan yang paling kecil, menuju
peperangan yang lebih besar"
Setelah Rasulullah s.a.w. ditanya sahabat, beliau
menjawab bahawa peperangan yang lebih besar itu ialah
memerangi hawa nafsu. Dalam hadith yang lain pula,
Rasulullah s.a.w menggambarkan bagaimana besarnya bahaya
hawa nafsu:
"Bukanlah
orang yang gagah berani itu lantaran dia cepat
melompati
musuhnya didalam pertempuran, tetapi orang yang berani
ialah
orang yang boleh menahan dirinya dari kemarahan".
(Hadith riwayat Abu Daud)
Imam Qusayiri menerangkan bahawa mujahid ialah mereka
yang berusaha membebaskan diri dari kekangan hawa nafsu
yang menjadi sifat manusia, dan berusaha mengendalikan
diri serta tidak memperturutkan kehendaknya dalam
kebanyakan waktunya. Imam Ghazali menerangkan erti
mujahadah iaitu pengerahan kesungguhan dalam
menyingkirkan nafsu dan syahwat atau menghapuskannya
sama sekali.
Menurut Prof. Dr. Hamka bahawa perjuangan melawan
hawa nafsu, manusia terbahagi kepada tiga bahagian.
-
Kalah sama sekali
dengan ajakan hawa nafsu, sehingga dirinya ditahan
dan diperbudak oleh hawa nafsunya sendiri, bahkan
hawa nafsunya itu dijadikan tuhannya.
Sebagaimana mafhum firman Allah,
"Apakah
yang engkau lihat (Muhammad) orang yang mengikuti
hawa nafsunya menjadi tuhannya?".
-
Peperangan antara
keduanya berganti-ganti, terkadang kalah dan menang,
jatuh dan tegak. Orang yang begini yang patut
disebut MUJAHID. Kalau dia mati dalam keadaan
menang, matinya mati syahid. Kerana memerangi
hawa nafsu itu lebih berat daripada melawan musuh
yang kelihatan.
-
Orang yang dapat
mengalahkan hawa nafsunya, sehingga ia dapat
menguasai hawa nafsunya, bukannya dikuasai oleh hawa
nafsu. Malah tidak diperbudakkan oleh hawa
nafsunya. Sabda Rasulullah s.a.w.,
"Tidak
seorangpun di antara kita yang tidak bersyaitan,
saya sendiri pun juga bersyaitan. Tetapi
sesungguhnya Allah telah menolong saya menghadapi
syaitan saya, sehingga syaitan itu dapat saya
kalahkan". (Hadith riwayat Ibnu Jauzi dan Ibnu
Abdurrahman Salmi).
Umar bin Khatab juga mendapat darjat yang ke-3 ini
kerana Rasulullah s.a.w pernah berkata kepada Umar,
"Demi
tuhan yang menguasai diriku di dalam tangan Nya,
tidaklah engkau bertemu dengan syaitan pada satu jalan,
melainkan syaitan itu menyingkir kepada jalan lain yang
tidak engkau lalui". (Hadith riwayat Muslin dan
Saad bin Abi Waqash).
Darjat yang ke-3 ini adalah
darjat nabi dan wali. Ada pun yang disebut wali di
sini ialah Waliur Rahman, yang disebut Allah dalam
Al-Quran yang telah taqarrub kepada Allah dengan amal
ibadahnya, bukan wali menurut sesetengah umat yang telah
diperjual belikan oleh ulama-ulama yang mengubah-ubah
pelajaran agama. Memerangi hawa nafsu adalah suatu
perjuangan yang benar-benar berat, maka kalau manusia
kurang berhati-hati tentu akan tergelincir dan
kalah. Sehingga akan diperbudakkan oleh hawa
nafsunya sendiri.