BELAJAR
UNTUK PEPERIKSAAN
Ramai pelajar yang
rajin belajar tetapi tidak memperolehi keputusan yang setimpal
dengan usaha mereka. Keadaan ini berlaku disebabkan mereka
tidak belajar dengan pendekatan untuk cemerlang dalam
peperiksaan. Mereka tidak merancang jadual belajar
dan masa mereka dengan betul. Artikel ini akan
membincangkan apa yang perlu anda lakukan mulai sekarang
hinggalah ke dewan peperiksaan bagi memastikan anda lakukan yang
terbaik.
Bersedia untuk
belajar
Peperiksaan semakin hampir. Anda perlu melakukan
persediaan bagi memastikan anda mampu melanjutkan pelajaran ke
peringkat yang lenih tinggi sama ada di kolej ataupun
universiti.
Sekiranya anda
memang telah belajar dari awal, pastinya tidak banyak yang perlu
dirisaukan. Tetapi bagaimana pula sekiranya anda baru mahu
bersungguh-sungguh mengulangkaji. Lebih-lebih lagi
sekiranya anda bakal menduduki SPM. Kepada pelajar SPM
saya nasihatkan agar memberikan tumpuan kepada matapelajaran
penting. Iaitu matapelajaran yang membawa anda ke menara
gading. Matapelajaran ini ialah Bahasa Melayu, Bahasa
Inggeris, Matematik dan dua matapelajaran elektif (Fizik, Kimia,
Biologi, Prinsip Akaun, Ekonomi, Sains Tambahan, Matematik
Tambahan, Kejuruteraan). Sekiranya anda mendapat markah
yang baik dalam kelompok mata pelajaran ini maka peluang anda
untuk ke universiti adalah cerah.
Namun begitu,
sekiranya anda mampu, hendaklah anda dapatkan markah yang
terbaik bagi semua mata pelajaran. Sebab persaingan ke
universiti kini semakin sengit. Mereka yang berjaya
biasanya memiliki pencapaian yang baik dalam semua mata
pelajaran.
Buatkan jadual
belajar untuk peperiksaan
Jangan panik. Itu adalah pesan saya yang paling
utama. Walaupun anda rasakan banyak yang perlu difahami
dan diingati, jangan sekali-kali anda panik. Sekiranya
anda panik, anda akan mengundang lebih banyak masalah berbanding
penyelesaian. Tidak ada masalah tanya
penyelesaian.
Mula menyemak semua
buku-buku yang ada termasuk nota sekolah, buku teks, buku
rujukan, soalan-soalan ramalan dan soalan-soalan tahun
lepas. Pastikan semuanya lengkap dan dalam keadaan
baik.
Langkah pertama
kenal pasti bab-bab yang susah dan belum anda kuasai untuk semua
mata pelajaran. Senaraikan bab-bab ini. Senaraikan
juga bab-bab yang telah anda kuasai dengan baik.
Langkah kedua
buatkan analisa soalan-soalan sejak 5 tahun yang lepas.
Lihat bab-bab yang sering keluar soalan darinya. Bab-bab
ini merupakan bab-bab penting yang tidak boleh
tidak mesti anda kuasai dengan baik.
Buatkan jadual
perancangan belajar anda. Agihkan tajuk-tajuk dari
sekarang hinggalah seminggu sebelum peperiksaan. Jangan
diganggu minggu terakhir sebelum peperiksaan sebab minggu
terakhir ini adalah untuk anda lakukan semakan terakhir
nanti. Mana-mana bab yang penting, mulakan ulangkajinya
dahulu. Lagi awal anda mengulangkaji bab-bab ini lagi
cepat anda mengenalpasti dan seterusnya mengatasi setiap
masalah. Sekiranya anda terpaksa menghabiskan 4 bab
seminggu maka habiskanlah. Anda mungkin terpaksa belajar 5
- 8 jam sehari untuk mengulangkaji semua matapelajaran.
Oleh itu anda perlu berkorban demi masa depan. Anda mungki
belajar 1 jam diwaktu pagi, 2 jam pada tengahari, 1 jam diwaktu
petang dan 3 jam diwaktu malam. Ini menjadikan masa
belajar anda 7 jam sehari.
Mengingati Tajuk
Ramai pelajar tidak menyedari hakikat penting ini. Kalau
anda mampu mengingati apa tajuk-tajuk yang terkandung dalam
sesuatu matapelajaran maka anda mempunyai gambaran yang jelas
tentang apa yang anda pelajari.
Buatkan Nota
Anda hanya perlu mempelajari sekali sahaja setiap
tajuk. Pastikan dengan usaha yang sekali ini
anda mampu memahaminya. Ramai pelajar yang mengulang baca
sesuatu tajuk beberapa kali dan kemudiannya lupa. Cara
belajar begini bukan sahaja menjemukan malah merugikan masa
anda, sedangkan peperiksaan semakin hampir.
Setelah anda
memahami apa yang dibaca, buatkanlah nota-nota ringkas.
Yang terbaik ialah anda ringkaskannya mengikut apa yang anda
fahami. Bandingkan nota anda dengan teks asal bagi
memastikan fahaman anda betul dan tidak ada fakta penting yang
tertinggal.
Ringkaskan setiap
fakta menjadi lebih pendek bagi memudahkan anda
mengingatinya. Kenalpasti kata kunci dalam
setiap fakta. Buatkan senarai kata kunci dan hafal.
Lakarkan peta minda atau peta konsep berdasarkan tajuk-tajuk dan
kata kunci yang ada. Pastikan apabila anda mengingati kata
kunci, maka anda mampu mengingati keseluruhan fakta yang
berkaitan dengannya.
Latih diri anda
untuk peperiksaan
Anda perlu melatih diri anda untuk peperiksaan. Tanpa
latihan anda tidak mungkin dapat memberikan hasil yang
terbaik. Minda anda juga seperti otot-otot fizikal anda
yang lain. Ia perlu dilatih secara intensif bagi mencapai
sesuatu hajat. Mereka yang mahu cemerlang dalam 'bowling'
perlu melakukan latihan berterusan bagi meningkatkan kemahiran
ber'bowling'. Begitu juga dengan peperiksaan. Anda
perlu melatih diri anda bagi tujuan cemerlang dalam peperiksaan.
Syarat-syarat
latihan peperiksaan ialah:
-
Latih
mengeluarkan maklumat dengan banyak, cepat dan tepat.
-
Latih dalam
tempoh masa yang tertentu.
-
Anggapkan setiap
latihan seperti peperiksaan sebenar.
-
Latih menjawab
mengikut strategi menjawab soalan yang berkesan.
1. Latih
mengeluarkan maklumat
Maklumat yang dibaca mestilah mampu dikeluarkan semula.
Oleh itu anda perlu sentiasa melatih diri anda untuk
mengeluarkan maklumat yang telah dipelajari.
Perbanyakkan latihan-latihan seperti:
-
Menjawab
soalan-soalan;
-
Menceritakan
semula apa yang telah dipelajari;
-
Melakarkan
kembali dalam bentuk peta konsep / minda;
-
Mengadakan
perbincangan dengan rakan;
-
Menyediakan
kad imbasan kecil.
-
Mengambarcarakan
apa yang telah dipelajari.
-
Sekiranya anda
pelajar SPM atau STPM, cuba hasilkan model jawapan soalan
esei berdasarkan soalan-soalan yang ada. Cuba
pecahkan fakta-fakta penting dalam bentuk peta
minda/konsep. Ini memudahkan anda mengingati
isi-isinya dalam peperiksaan sebenar kelak.
2.
Hadkan masa menjawab
Pastikan anda menjawab dalam had masa yang ditetapkan.
Peperiksaan bukan sahaja memerlukan anda mengetahui banyak
fakta, tetapi anda perlu mengeluarkan fakta-fakta yang
berkaitan dalam masa yang telah ditetapkan. Oleh itu
anda perlu pantas dan kepantasan hanya boleh dibina melalui
latihan yang berterusan.
Oleh itu anda
perlu kerap menjalankan latihan ujian.
Iaitu menjawab soalan-soalan dalam had masa seperti dalam
peperiksaan.
3.
Anggap seperti peperiksaan sebenar
Pastikan anda bebas dari gangguan, tidak melengahkan masa,
tumpuan yang tinggi dan rasakan seolah-olah tekanan
peperiksaan yang sebenar. Elakkan dari meniru sepanjang
menjalani latihan ujian. Gunakan strategi menjawab
soalan (lihat di bawah). Ingat masa
berjalan, oleh itu jangan sekali-kali biarkan fikiran anda
melayang. Sekiranya soalan itu susah, maka berikanlah
jawapan yang terbaik. Anda perlu belajar mengenali
gerak hati anda sebab anda memerlukannya dalam peperiksaan
yang sebenar nanti.
4.
Strategi menjawab soalan
Untuk mendapatkan markah yang tinggi dan mengelak dari
berlakunya kecuaian, anda memerlukan strategi menjawab soalan
yang berkesan.
Langkah-langkah
berikut dapat membantu:
-
Baca arahan
terlebih dahulu.
-
Baca arahan
terlebih dahulu.
-
Kenal pasti
dan garis kata kunci kepada soalan.
-
Jawab soalan
mengikut turutan berikut:
-
Jawab
soalan BONUS - Iaitu soalan yang anda pasti
jawapannya betul. Ia mungkin soalan yang telah anda
ramal, atau yang pernah anda latih sebelumnya.
-
Jawab
soalan yang senang - Iaitu soalan yang mampu
anda jawab hanya dengan satu kali cubaan.
-
Jawab
soalan-soalan yang susah - iaitu soalan yang
memerlukan masa yang panjang atau soalan yang anda memang
tidak tahu jawapannya.
-
Semak
- Pastikan semua soalan dijawab; Untuk soalan
objektif, pastikan tandanya betul.
-
Ulang
jawab - Kalau masih ada masa, ulang jawab
soalan bonus dan senang. Ingat! soalan inilah yang
anda pasti lakukan kecuaian oleh itu semak dengan tujuan
mencari kesilapan tersebut. Bukannya menyemak dengan
tujuan berpuashati dengan jawapan. Langkah terakhir
barulah ulang jawab soalan-soalan susah. Itu pun
sekiranya masa masih mengizinkan.
Mencari sebab
(post-mortem)
Anda perlu menkaji kelemahan diri anda setiap kali selesai
menjawab soalan-soalan. Setelah anda selesai membuat
latihan ujian. Semak setiap jawapan yang dibuat.
Sekiranya jawapan anda salah maka lakukan 'post-mortem', iaitu
proses mencari sebab. Setiap kesilapan ada sebab-sebabnya
dan ini merupakan masalah utama yang perlu anda atasi.
Antara sebab-sebab kesalahan berlaku ialah:
-
Tidak tahu
(tidak baca) - Ini bermakna persediaan diri anda
kurang. Maka berikan masa membaca tajuk-tajuk
tersebut.
-
Tidak
faham - Anda baca tetapi tidak faham. Tanyakan
pada guru atau rakan.
-
Lupa
- Ini disebabkan anda kurang mengulangi apa yang telah
dipelajari.
-
Cuai
- Pastikan anda mengikuti langkah-langkah dalam Strategi
Menjawab Soalan di atas.
-
Keliru
- Tanyakan pada guru tentang bentuk soalan yang mengelirukan
anda. Minta penjelasan dari guru sebelum hari
peperiksaan agar kesilapan yang sama tidak diulangi.
Jangan buang
masa
Dalam suasana peperiksaan semakin hampir anda perlu gunakan
setiap masa yang terluang untuk mengulangkaji. Sekirannya
masa yang terluang tidak sesuai untuk anda membaca dan
menghafal, maka gunakan masa tersebut untuk anda melatih
mengeluarkan maklumat. Ceritakan apa yang telah anda
pelajari kepada diri anda sendiri. Lakarkan apa yang anda
ketahui pada sehelai kertas. Aktiviti sebegini mengukuhkan
lagi ingatan anda dan memudahkan pengaliran keluar maklumat
ketika dalam peperiksaan kelak.
Bagi mengelakkan
rasa jemu belajar, pelbagaikan aktiviti dalam satu-satu sessi
mengulangkaji.
Nota tambahan:
Saya telah menemui satu laman yang cukup baik untuk subjek
geografi. Silalah lawat laman berikut http://www.geocities.com/Paris/2023/
|